Januari 2012: Hukum Mengembiri Binatang/Kucing
Secara umumnya, mengembiri binatang ternakan menurut Imam Abu Hanifah (rh) – Pengasas Mazhab Hanafi – tidaklah menjadi satu kesalahan di sisi syarak kerana ianya boleh menghasilkan binatang ternakan yang gemuk isinya lagi baik mutu dagingnya. Daging seperti ini yang menjadi pilihan top-ten khasnya bagi mereka yang hendak mencari haiwan ternakan untuk aqiqah (khasnya kambing) . Imam Malik Bin Anas (rh) – Pengasas Mazhab Maliki – hukumnya adalah harus kecuali pada KUDA kerana tindakan mengembiri seseekor kuda akan menyebabkannya lemah dan tidak boleh menghasilkan anak.
Menurut sebuah hadis Baginda Rasulullah s.a.w , daripada riwayat Saidina Abdullah Bin Saidina ‘Umar Al-Khattab (r.a ) mengisahkan bahawa pernah seorang wanita disenaraikan sebagai ahli neraka disebabkan dia pernah mengurung seekor kucing dan tidak pula dibenarkan keluar merayau-merayau untuk mencari makanannya sendiri yang menyebabkan akhirnya kucing itu mati kelaparan . ~ Hadis sahih riwayat ImamAl-Bukhari (rh) dan Imam Muslim (rh) .
Manakala menurut riwayat lain pula, ada seorang
wanita yang menjadi seorang pelacur telah memberi makanan kepada seekor
anjing yang kelaparan. Maka dengan perbuatan itu melayakkan dia
menjadi salah-seorang penghuni syurga kelak. Hadis @ kisah ini sekaligus memberikan ancaman
kepada setiap penternak atau yang memelihara seekor binatang supaya
menjaga haiwan-haiwan ternakan atau peliharaan mereka sebaik mungkin. Ini
disebabkan segala tindak-tanduk kita akan dipersoalkan dengan lanjut di
hadapan Tuhan Yang Maha Adil, Allah Ta’ala di mahkamah padang mahsyar
kelak. Dan di antara ciri-ciri menjaga kebajikan
haiwan-haiwan itu ialah memberi makanan, minuman, perlindungan,
ubat-ubatan dan seumpamanya kepada haiwan-haiwan tersebut. Mengembiri
binatang termasuk di dalam kategori memberikan ubat-ubatan yang
disebutkan di atas. Adapun
tindakan mengembiri seekor kucing jantan jika ianya memang telah
diakui KEBENARANNYA (boleh menyebabkan ia bertambah sihat dan gemuk
serta tidak kencing merata-merata) oleh pakar perubatan haiwan yang
diyakini kejujurannya (Islamnya) dan disahkan pula menurut kepakaran
mereka di dalam bidang perubatan haiwan, maka tidak ada halangannya
menurut agama kita. Yang dilarang ialah berbuat zalim kepada haiwan yang mana ia juga termasuk di dalam kategori makhluk Allah Ta’ala dan
apatah lagi kepada sesama manusia yang merupakan makhluk Allah Ta’ala
yang paling mulia di alam jagat ini. Larangan melakukan kezaliman dan menimbulkan bencana ini dijelaskan oleh Baginda Rasulullah s.a.w:
لَا ضَرَرَ وَلَا ضِرَارَ
Ertinya : Tidak boleh membahayakan diri sendiri dan
tidak boleh juga menimbulkan bahaya ~ Hadis sahih diriwayatkan oleh
Imam Malik (rh), Imam Al-Hakim (rh), Imam Ibnu Majah (rh) dan Imam
Daruquthni (rh)
Sumber: http://soaljawab.wordpress.com/page/109/?archives-list=1
No comments:
Post a Comment